The Red Giants

EN
MY
Selangor FC
SELANGOR FC
BERITA

Reviu Perlawanan LS14 | Selangor FC 0–2 JDT FC | Liga Super Malaysia 2025/26 | Bangga dengan Karakter Pemain Walaupun Akur dengan Kekalahan

Jan 05, 2026 - FAS

Selangor FC pulang dengan tangan kosong selepas tewas 0-2 ke atas Johor Darul Ta’zim (JDT) FC di Stadium MBPJ, Kelana Jaya semalam bagi perlawanan ke-14 saingan Liga Super 2025/26.

Selangor FC menunjukkan aksi yang cukup berdisiplin dan berdaya saing tinggi walaupun terpaksa akur tewas 0-2 kepada JDT FC. Jaringan awal hasil gol sendiri seawal minit ke-7 memberi cabaran besar kepada pasukan, namun Selangor bangkit dengan organisasi pertahanan yang lebih kemas dan intensiti permainan yang konsisten sepanjang perlawanan. Beberapa pertukaran pemain di separuh masa kedua, menyuntik tenaga baharu dan membantu pasukan mengekalkan tekanan serta struktur permainan, khususnya dalam usaha mengekang serangan lawan. Walaupun gol kedua hanya hadir di penghujung perlawanan, persembahan Selangor jelas mencerminkan semangat juang, disiplin taktikal dan asas yang positif untuk terus membina momentum dalam perlawanan akan datang.

Ketua Jurulatih Selangor FC, Christophe Gamel, menyatakan perasaan bangga beliau dengan semangat dan persembahan para pemain biarpun terpaksa akur dengan kekalahan.

“Saya bagitahu para pemain yang saya sangat bangga dengan mereka. Walaupun kita hilang fokus pada saat-saat akhir, karakter dan semangat juang yang dipamerkan di atas padang amat memberangsangkan. Prestasi ini bukan sahaja mencerminkan usaha para pemain tetapi juga keseluruhan pasukan termasuk barisan kejurulatihan dan pegawai yang komited sepenuhnya kepada kelab dan lencana di dada,” ujar beliau.

“Saya sangat gembira dengan apa yang telah kita capai setakat ini kerana banyak perubahan positif telah berlaku. Antaranya adalah kita dapat kekal corak permainan berteraskan serangan, kerana itu mencerminkan mentaliti kita Selangor FC. Namun begitu, kita sedar masih ada ruang untuk penambahbaikan dan pasukan ini akan terus bekerja keras untuk menjadi lebih baik untuk perlawanan seterusnya,” tambahnya lagi

Seterusnya, pada 10 Januari ini, Selangor FC akan terbang ke Brunei untuk perlawanan ke-15 saingan Liga Super 2025/26 menentang DPMM FC di Stadium Nasional Hassanal Bolkiah, Bandar Seri Begawan dengan sepak mula jam 8:15 malam.

Pihak pengurusan Selangor FC ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada 8,101 para penyokong yang telah hadir dan memberi sokongan tinggi kepada pasukan pada perlawanan semalam. Suara anda menjadi tonik kepada semangat para pemain di atas padang. 

Demi Kebanggaan!